Satu Perkongsian Jujur Sebelum Anda Buat Keputusan
Saya ingin berkongsi perkara ini terlebih dahulu agar adil untuk anda memahami apa sebenarnya yang sedang anda putuskan.
Seperti yang kita sedia maklum, online forex trading telah difatwakan haram di peringkat kebangsaan bagi umat Islam di Malaysia. Majoriti para ustaz juga berpandangan sedemikian. Namun, terdapat segolongan ulama dan asatizah yang berpandangan bahawa ia harus, bergantung kepada cara ia dijalankan dan faktor-faktor tertentu.
Bagi saya secara peribadi, saya telah mula melibatkan diri dalam dunia pelaburan sejak tahun 2004, bermula dengan pasaran Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Ini bermakna saya telah berkecimpung dalam dunia pelaburan selama lebih 21 tahun.
Kita tahu bahawa perdagangan saham tidak menjadi isu dari sudut hukum selagi mana saham tersebut bukan dari syarikat yang menjalankan perniagaan haram, seperti arak, judi, atau seumpamanya.
Berbalik kepada isu FOREX — sebenarnya, istilah “forex” itu sendiri luas. Ia bermaksud tukaran mata wang asing. Sama ada dilakukan secara fizikal (offline) atau melalui platform digital (online), ia tetap dikategorikan sebagai pertukaran mata wang.
Contohnya, jika anda ingin melancong ke Jepun dan menukar Ringgit kepada Yen, itu adalah forex secara fizikal. Tiada siapa yang memfatwakannya haram. Malah anda juga boleh menyimpan mata wang asing seperti Yen untuk dijual kembali apabila harganya naik — ini juga tidak bermasalah.
Namun, ini bukan cara yang paling efisien. Kadar tukaran fizikal biasanya datang dengan spread yang tinggi. Sebagai contoh, jika harga semasa USD ialah 4.27, anda mungkin terpaksa bayar 4.40 di money changer, dan apabila menjual semula, mungkin hanya dapat 4.10. Sebaliknya, jika anda menggunakan platform digital seperti stablecoin (contohnya USDT), spread jauh lebih rendah dan harga belian/jualan lebih kompetitif.
Jadi, apakah masalah sebenar dalam online forex trading?
Isunya bukan pada tukaran mata wang itu sendiri, tetapi bagaimana urus niaga itu dijalankan di platform tertentu, termasuk aspek seperti leverage, interest (swap), margin trading, dan sebagainya. Inilah yang menjadikan sebahagian bentuk forex trading dianggap tidak mematuhi syariah.
Namun begitu, ramai trader dan pihak yang berilmu berhujah bahawa terdapat bentuk forex trading yang harus, apabila dilakukan tanpa unsur riba, judi (gharar), dan penipuan.
Saya sendiri menganggap forex online sebagai sebahagian daripada dunia aset digital moden, yang asasnya tetap sama dengan instrumen lain — iaitu menggunakan ilmu teknikal analisis.
Saya suka dengan pendekatan dan penerangan Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Dasuki yang memberi perspektif seimbang dan mendalam. Namun, anda juga patut dengar penjelasan dari Ustaz Aharudin yang berpegang pada pandangan haram — dan nilailah sendiri.
Akhirnya, kembali kepada hati dan kefahaman anda sendiri. Ilmu adalah kunci. Tanya diri, fahami risikonya, dan buat keputusan dengan kesedaran penuh, bukan sekadar ikut-ikutan.